Saya hanya mahu menjadi anak yang baik
Ketika saya di Tingkatan 3, keputusan UPSR dan PMR saya baik. Saya pula menyimpan impian untuk menjadi pengacara TV, tetapi ibu berharap saya menjadi doktor. Seperti ramai anak, saya hanya mahu menjadi anak yang baik dan menggembirakan ibu. Jadi saya memilih Sains Tulen, walaupun ketika itu saya belum benar-benar mengenali diri sendiri.
Saya tidak mempunyai data tambahan atau ruang perbualan yang membantu saya membezakan antara apa yang saya mampu lakukan, apa yang saya minati dan kehidupan yang sebenarnya ingin saya bina. Saya kemudian belajar dalam bidang Bioteknologi, meneruskan pengajian sarjana dalam bidang perubatan dan membina pengalaman dalam penyelidikan serta pendidikan kesihatan.
Semua pengalaman itu berharga dan tidak pernah sia-sia. Namun, persoalan tentang arah dan nilai diri mengambil masa yang panjang untuk saya fahami.
Kebolehan sahaja belum menentukan kesesuaian
Saya melihat ramai pelajar yang cemerlang menuju ke bidang tertentu kerana mereka mempunyai keputusan yang baik. Ada rakan yang membawa haluan berbeza selepas tamat pengajian dalam bidang masing-masing, dan ada juga yang terpaksa berhenti pengajian sarjana atau latihan profesional apabila tekanan serta tuntutan kerjaya tidak serasi dengan diri dan sokongan yang mereka ada.
Tiada bidang yang salah, dan perubahan arah bukan bermaksud seseorang itu gagal. Tetapi kebolehan mendapat keputusan yang baik sahaja belum cukup untuk menentukan kehidupan yang sesuai. Minat, kecenderungan diri, realiti pembelajaran dan persekitaran kerjaya juga perlu dibincangkan sebelum keputusan besar dibuat.
Pandai bukan satu rupa
Anak yang tidak menyerlah dalam peperiksaan tidak wajar dianggap tidak pandai. Saya melihatnya dalam keluarga sendiri: adik saya mempunyai kemahiran praktikal dan sentuhan yang baik sebagai terapis urutan. Ada kebijaksanaan yang terlihat melalui tangan, tubuh, cara menjaga orang dan kebolehan menyelesaikan masalah sebenar—walaupun ia tidak selalu kelihatan pada sekeping slip keputusan.
Bukan untuk menyalahkan sesiapa
Ibu bapa membuat keputusan dengan kasih sayang dan maklumat yang mereka ada. SULUHAN tidak dibina untuk menyalahkan ibu bapa, guru atau bidang pengajian. Ia dibina supaya keluarga hari ini boleh berbincang lebih awal—agar anak tidak memilih semata-mata untuk menggembirakan orang yang disayanginya, dan ibu bapa tidak perlu meneka seorang diri.
SULUHAN memberi keluarga satu titik permulaan untuk mengenali kekuatan, minat dan kecenderungan anak sebelum meneroka Pakej Aliran Tingkatan 4 bersama-sama.
Suhana HamzanPengasas SULUHAN